Piala Buluh Perindu 2025 - Wahana Deksu

Tema: "Pelik tapi Benar" Senikata: Khairunisak Hussain Lagu Ciptaan: Rohasliza Rohmadon "Doom Scrolling" Juara: Sang Kelinci pintas lari kejar masa Sudah lambat jari saat sudah songsang Sang Kelinci hempas-pulas cari mangsa Sudah lewat tergelincir dalam lubang Raba-raba dalam gelap cari jalan Cahaya peranti bersuluh gantian Pura-pura alam maya jadi teman Celik akal buta huruf dalam talian Putar-putar tanpa arah cari jawapan Nescaya terikut jentera carian Ura-ura dalam hati kuat iman Pelik betul tapi benar alam godaan Karut Yengki: Lapan jemari hampir berjumpa Dua ibu renggang terpisah Turun naik telusur berita Minda menyerap hati berserah Tegak tengkuk makin membongkok Jarak tengok makin tersorok Gelak galau makin seronok Serak serabut minda mendongok Karut Kelantan: Hilang kawal punah rasa Tatal dari atas bawah Hilang kawan gundah rasa Gagal cari punca balah Gumpal darah sekat minda Makin tebal badan rebah Ketul-ketul urat mata Jana murung mangkin resah Makin rapat makin dekat Mata ligat dek maklumat Makin minat makin cepat Jari lompat dek makrifat Lihat gambar dah curiga Yang pelik masih dahaga Baca warta rasa hiba Benar ini dunia nyata Karut Temasek: Sang Kelinci cari apa? Klik, taip, tatal, baca Instagram buka, Facebook buka Tengok gambar cemburu buta Kawan bercuti di Osaka, sepupu baru beli Tesla Mula banding berlaga-laga tapi tetap ‘nak tengok juga Klik, taip, tatal, baca Mula-mula niat ‘nak sekejap saja Eh ini berita perang dunia, mana pergi semua kuasa? Artis ini kahwin lagi, artis ini cerai pula Tiga jam kemudian, tengkuk derita, mata sengsara, hati membara Klik, taip, tatal, baca berjela-jela ‘Nak salahkan kecerdasan buatan, aturan algoritma atau pilihan sendiri semata-mata? Karut Matang: Urut jemari regangkan anggota Pasti simpul akan terlerai juga Huraian pertama, batasan perlu ada Dek kemaslahatan para pengguna Huraian kedua, cari yang berwibawa Bagi kesejahteraan semua Lagu Penutup: Tuntut ilmu zaman berzaman Beza cara tujuan sama Kelinci jangan cari ilmu yang bukan-bukan Asalkan pandai elak malapetaka