Majlis Pengumuman Pelancaran Tunku Laksamana Johor Cancer Centre

PUSAT KANSER TUNKU LAKSAMANA JOHOR BAKAL SIAP PENGHUJUNG 2020 Pusat kanser berteknologi tinggi pertama di Malaysia bakal di bina di Iskandar Puteri - hasil inisiatif DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Projek bernilai RM300 juta itu, yang diumumkan Tuanku Sultan Ibrahim dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru hari ini (1 April), dibina sempena memperingati anakanda Baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor yang mangkat pada Disember 2015 akibat kanser hati. Baginda berangkat tiba pada jam 2 petang bersama DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dengan diiringi DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan isteri, YM Che' Puan Khaleeda Binti Bustamam serta paduka-paduka anakanda yang lain. Hadir sama, isteri kepada Perdana Menteri Singapura, Ho Ching merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings Limited. "Majlis pengumuman mengenai pembinaan hospital kanser ini amat bermakna. Ini merupakan satu lagi usaha untuk memenuhi impian Almarhum Tunku Abdul Jalil bagi membantu pesakit-pesakit kanser," titah Tuanku Sultan Ibrahim pada majlis pengumuman Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor. Almarhum Tunku Abdul Jalil merupakan antara sumber inspirasi kepada golongan pesakit kanser. Malah sebelum akhir hayatnya, Almarhum cukup menitikberat kebajikan pesakit kanser dan turut melawat mereka serta memberi kata-kata semangat. "Almarhum pernah berjanji mahu berjuang untuk kebajikan serta membantu meringkankan beban pesakit kanser. "Kami komited untuk memenuhi impian Almarhum dan hospital ini akan menjadi legasi Almarhum untuk membantu pesakit kanser," titah Baginda. Tuanku Sultan Ibrahim bertitah, Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun 2020, dan lebih murni lagi sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh akan disalurkan bagi membantu meringankan beban pesakit kanser yang kurang berkemampuan dan keluarga mereka. "Ini adalah janji dan komitmen kami. Hospital ini berupaya membantu pesakit kanser yang memerlukan dan juga keluarga mereka," titah Baginda.