NAHAS KONVOI RXZ, PEMANDU TOYOTA VIOS TAMPIL BERI PENJELASAN

NAHAS KONVOI RXZ, PEMANDU TOYOTA VIOS TAMPIL BERI PENJELASAN Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan empat penunggang motosikal Yamaha RX-Z di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuantan awal pagi Sabtu tampil menjelaskan bagi memperbetulkan pelbagai dakwaan dan maklumat yang menurutnya tidak tepat. Menerusi hantaran di Threads, Muhammad Irfan Aziz, 25, mengakui dia yang memandu kereta itu ketika kejadian bukan kakaknya seperti yang tular di media sosial. Menurutnya, sebelum kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas melawat ibu saudara yang sedang menerima rawatan akibat kanser tahap empat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. Jelas Muhammad Irfan, dia menyedari sebuah motosikal bergerak laju dari belakang sebelum yang lain tiba dengan kelajuan tinggi sehingga menyebabkan pandangannya silau akibat cahaya lampu. Katanya, selepas memberhentikan kereta, dia sempat merakam situasi di lokasi kejadian menggunakan telefon bimbit, manakala adiknya ketika itu sedang meraung kesakitan akibat kecederaan yang dialami. Muhammad Irfan menjelaskan, video yang tular memaparkan kakaknya mengeluarkan kata-kata beremosi dirakam ketika mereka masih belum mengetahui ada mangsa yang meninggal dunia. Dakwanya lagi, adiknya yang cedera terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam sementara memberi laluan kepada pasukan perubatan menyelamatkan mangsa lain terlebih dahulu. Menurutnya, mereka juga memberikan kerjasama mengalihkan kereta bagi memudahkan ambulans memasuki lokasi kejadian dan tidak mendesak supaya adiknya diberikan rawatan terlebih dahulu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah mengesahkan pihaknya telah menerima laporan dibuat pemandu tersebut.