Nga pertahan Shamsul, 'Dia tak ambil duit, tapi surat sokongan tetap salah’

PRN Sabah terus hangat apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tampil mempertahankan imej antirasuah kerajaan perpaduan susulan peletakan jawatan Shamsul Iskandar Md Akin sebagai setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Berucap di hadapan lebih 800 tetamu dalam majlis makan malam DAP di Kota Kinabalu, Nga menegaskan bahawa peletakan jawatan Shamsul tidak berpunca daripada rasuah, sebaliknya berkaitan satu surat sokongan yang beliau hantar tahun lalu. Menurut Nga, Shamsul “tidak mengambil duit sesiapa”, namun tindakannya menghantar surat sokongan untuk satu kontrak hospital tetap dianggap mengganggu proses bidaan awam.