TARI ASWARA - RAMPAIAN MOLEK SEPILIN

Persembahan ini ditarikan oleh pelajar Fakulti Tari ASWARA bersempena dengan Festival Budaya Johor pada 13 & 14 Disember 2025. Di Dataran Bandaraya Johor, Johor Bahru. Sinopsis Persembahan “Molek Sepilin” Persembahan “Molek Sepilin” merupakan sebuah medley tarian Melayu yang menggabungkan tiga tarian tradisional utama iaitu Zapin, Inang dan Joget. Tarian ini menggambarkan keindahan budaya sosial masyarakat Melayu yang sarat dengan kelembutan, kesopanan dan keceriaan dalam kehidupan seharian. Gerak tari dalam persembahan ini diibaratkan sebagai “Tiga Helai yang Berjalin”, melambangkan kesatuan tiga gaya tarian yang dianyam dalam satu irama dan melodi. Setiap rentak dan langkah mencerminkan kelembutan, kehangatan serta semangat keharmonian dalam masyarakat Melayu. Dengan gerakan yang lembut namun bertenaga, para penari menampilkan keanggunan dan tertib, selari dengan tema persembahan. Persembahan ini pertama kali dipentaskan bersempena Festival Tari’25 – 11th International Folk Dance Festival 2025, pada malam Gala Night yang berlangsung pada 22 dan 23 November 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Tarian ini merupakan hasil kolaborasi tiga orang koreografer dari Fakulti Tari ASWARA, iaitu Syeik Putra (Zapin), Norsafini Jafar (Inang) dan Yunus Ismail (Joget). Persembahan ini diiringi dengan lagu “Molek Sepilin” yang dicipta oleh Shahrizan Sahamat dengan lirik oleh Che Kem, yang memperkukuhkan lagi suasana dan jiwa tarian melalui gabungan melodi serta kata-kata yang puitis dan berunsur tradisional. Pencipta Lagu : Shahrizan Sahamat Penulis Lirik : Che' Kem Penyanyi : Ezdieani Hayati Omar Penari: Pelajar Fakulti Tari ASWARA